Dato Mohd Zin Mohamad antara ribuan penyokong Barisan Nasional
Bersama kawan lama
RAUB 16 Jan. – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan N6 Batu Talam pada 28 Januari ini menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) dan calon bebas.
Pada pilihan raya itu, calon BN, Abd. Aziz Mat Kiram, 47, akan ditentang calon bebas, Ng Chee Pang, 22, seorang ahli perniagaan yang juga anak kepada Bendahari DAP Pahang.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Batu Talam, Abdul Kadir Awang Bakar pada pukul 11.10 pagi selepas waktu bantahan ditutup pukul 11 pagi di Bilik Gerakan Pilihan Raya di Pejabat Tanah dan Daerah Raub di sini.
Sehingga proses penamaan calon tamat, hanya seorang calon bebas mengemukakan borang pencalonan.
Calon BN hadir bersama pencadangnya, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid dan penyokong, Mohd. Razali Hamzah pada pukul 9.31 pagi di pusat penamaan calon.
Chee Pang bersama pencadangnya, Lee Tong Heng dan penyokong, Wan Siew Cheng pula tiba lebih awal iaitu pada pukul 9.02 pagi. Chee Pang memilih lambang bas.
Sementara itu hampir 10,000 penyokong BN memenuhi pekarangan Majlis Daerah Raub untuk memberikan sokongan sejak pukul 7 pagi.
Semangat penyokong BN juga diperkukuh dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan pemimpin parti-parti komponen BN yang lain.