SEGALANYA BUKAN DI RANCANG... Dari tingkap pejabatnya di tingkat empat Komplek Kerjaraya kita dapat melihat Menara Dato Onn dimana terletaknya ibupejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pemandangan itu seolah sentiasa menjadi sumber inspirasi bagi Timbalan Menteri Kerjaraya Datuk Ir Mohd Zin Mohamad.
Ini dapat disimpulkan dari cara beliau dengan bangganya bercerita tentang sudut itu yang membelakangi meja kerjanya. Pejabatnya yang dihiasi oleh beberapa lukisan mural serta susun atur berbentuk hightec itu dengan sendirinya memberi suasana yang simple tetapi selesa.
Pada satu petang selepas waktu pejabat baru-baru ini Agendadaily menghabiskan hampir dua jam bersembang dengannya. Ini kerana terasa beliau agak ‘menyepi’ sikit kebelakangan ini.
Sebelum pilihanraya umum Mac 2004 lalu,wajahnya kerap muncul di kaca televisyen dan di dada akhbar.Waktu itu jawatannya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) di Parlimen memberi lesen besar baginya untuk bercakap.
Selain kerap diburu wartawan untuk mendapat berbagai ulasan isu semasa,jawatan itu penghulu kepada ahli-ahli parlimen Barisan Nasional yang tidak ada jawatan kerajaan itu memerlukannya menangani banyak lain yang sentiasa meletakannya dalam limelight.
Mohd Zin yang dipilih bertanding semula pilihanraya umum tahun itu di kawasan baru di Sepang,Selangor tidak menduga beliau melangkah setapak lagi dalam karier politiknya bila dipilih jadi Timbalan Menteri Kerjaya.
Sebelum beliau adalah ahli parlimen kawasan Shah Alam, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam dan seketika sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Kota Raja. Kini selain dari ahli parlimen Sepang,beliau juga adalah Ketua UMNO Bahagian itu.
“Segalanya bukan dirancang…saya sendiri tidak menduga kena pindah kawasan ke Sepang.Kita ikut saja perintah YAB Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar,”katanya.
Mohd Zin sebenarnya sudah sinonim dengan politik UMNO Bahagian Shah Alam. Di bahagian itulah beliau mula melangkah masuk ke dalam politik pada tahun 1986 di UMNO Cawangan Seksyen 8. Beliau telah meniti setapak demi setapak peningkatan penglibatannya dalam arina ini di bahagian itu.
Tiga tahun selepas itu Mohd Zin berjaya menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam. Kemudiannya beliau melangkah masuk ke arus perdana politik Pemuda UMNO peringkat nasional menerusi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dimenanginya.
Beliau juga pernah merasa menjadi seorang ahli dewan undangan negeri selama satu penggal di kawasan Kota Raja,Shah Alam sebelum dipilih bertanding kerusi parlimen pada pilihanraya umum 1999. SAYA BANYAK TERLIBAT KERJA-KERJA DI BAWAH UNTUK MEMBANTU PUCUK PIMPINAN...Bagi mereka yang masih ingat ia satu pilihanraya yang amat mendebarkan bagi Barisan Nasional.Ini kerana ia berlangsung semasa memuncaknya era reformasi pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shah Alam dikira salah sebuah kawasan kelabu apalagi calon Parti Keadilan yang beliau kena berentap ialah orang kuat parti itu,Ezam Mohd Nor sendiri. Mohd Zin menang tipis walaupun asalnya ramai yang menduga beliau bakal tewas.
Penglibatan politiknya di bahagian Shah Alam terhenti bila beliau berpindah jadi Ketua Penaja UMNO Bahagian Kota Raja berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya. Beliau tidak lama di situ kerana terima arahan untuk berpindah bertanding di parlimen Sepang pula dalam pilihanraya 2004.
“Karier politik saya sebenarnya bermula dari ground zero ,”kata Mohd Zin sambil memberitahu beliau telah melalui segala macam cabaran,sepak terajang dan asam garam berpolitik.
UMNO Bahagian Shah Alam sendiri dulunya merupakan kawasan yang panas.Beberapa pergolakan berlaku termasuk pemilihan sensasi dimana bekas Exco Kerajaan Negeri Datuk Sujak tumbang ditangan Datuk Salamon Selamat.
Sebab itu beliau kurang senang kalau ada yang copnya ‘tiba-tiba’ dilantik jadi Timbalan Menteri.
“Itu cakap orang yang tak tahu sejarah saya dari awal,”katanya.
Mohd Zin juga membuat hattrick pada pemilihan jawatan Majlis Tertinggi UMNO November 2004.
Pertama kali masuk gelanggang…ramai yang terkejut bila beliau mendapat nombor ke empat dari 25 orang calon yang menang jawatan itu. Mohd Zin meraih 1,765 mengatasi calon-calon lain yang lebih senior termasuk menteri dan Menteri Besar.
Bila bercakap dengan rakan-rakan beliau gemar menyebut dirinya sebagai operator.
Apakah ini menjadi salah satu faktornya?
Beliau tidak mahu menghurai lebih lanjut maksudnya kecuali memberitahu ia banyak melibatkan ‘kerja-kerja dibawah’ untuk membantu pucuk pimpinan.
Mungkin ini memberinya kesempatan untuk mewujudkan networking politik yang meluas dengan berbagai peringkat di seluruh negara.
Hal ini pun tidak mahu diulasnya.Beliau hanya memberi petua ringkas iaitu ‘ untuk berpolitik kita harus sentiasa tahu keadaan semasa padang permainan kita.’
Katanya bukan sahaja berpolitik tetapi dalam apa jua bidang pengetahuan itu amat penting.
KALAU KITA BAIK DENGAN PM ATAU TPM SEKALIPUN TETAPI KITA TIDAK ADA KEKUATAN SENDIRI DI PERINGKAT GRASSROOT...KITA TIDAK AKAN KEMANA...Walaupun diketahui umum dikalangan orang politik beliau rapat dengan keduanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak,beliau menolak andaian bahawa connection dengan orang atas adalah faktor penentu segalanya untuk naik.
“Kalau kita baik dengan PM atau TPM sekalipun tetapi kita tidak ada kekuatan sendiri di peringkat grassroot … kita tidak akan kemana,”katanya.
Menurutnya setiap ahli politik itu harus menjadikan dirinya ibarat ikon di skrin komputer untuk membolehkan dirinya disunting menapak keatas.
“Mungkin ada satu dua kes terpencil orang yang boleh baik sekelip mata tetapi undang-undang berpolitik sentiasa mewajibkan kita mempunyai kekuatan tersendiri dahulu,”ujranya.
Mohd Zin menjelaskan beliau mengenali Pak Lah dan Najib bukan sehari dua kebelakangan ini.
“Waktu itu Pak Lah sendiri tidak terfikir langsung beliau akan jadi Perdana Menteri satu nanti nanti,begitu juga Datuk Najib.Saya juga tidak pernah bermimpi akan jadi Timbalan Menteri.
“Saya kenal Pak Lah sejak zaman saya pelajar di ITM lagi.Waktu itu beliau Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Belia.Kami berkenalan semasa beberapa program yang beliau hadir.
“Datuk Najib juga diperingkat awal semasa saya belum lagi jadi Ketua Pemuda Shah Alam.Kemudiannya saya jadi Exco Pemuda dibawah pimpinannya.
“Kini mereka adalah kawan dan pemimpin saya,”ujarnya.
Beliau mengakui dalam politik faktor nasib dan senario politik juga memainkan peranan. Katakan tidak timbul isu Datuk Seri Anwar Ibrahim…mungkin sekarang saya tidak sampai ke peringkat ini.
“Siapa tahu keadaan keseluruhan mungkin berbeza…,” katanya.
Perbualan itu juga meniti ke soal tanggongan tugas di kementerian berketuakan Datuk Seri S Samy Vellu yang dilihat seorang ahli politik yang agresif dan vokal.
Terdapat cakap-cakap mengatakan bahawa sesiapa yang menjadi timbalannya pasti digerhanakannya kerana Presiden MIC itu sentiasa mencuri perhatian media.
Bagi Mohd Zin Menterinya adalah sama dengan bos-bos lain.”Saya tidak hadapi apa-apa masalah berkerja dibawahnya,”katanya.
Katanya mereka ada hubungan kerja yang baik. “Saya boleh telefon Datuk Samy tengah malam pun beliau pasti angkat,”katanya.
KITA MASING-MASING ADA TUGAS DAN AMANAH YANG PERLU DIPIKUL...Menurutnya sebagai orang yang mengetuai kementerian itu Datuk Samy memikul tanggongjawab besar bagi memastikan semuanya OK.
“Saya ni Timbalan Menteri sahaja…bila ada pembahagian tugas bagi saya… misalnya kena buat pengumuman itu ini…saya akan laksanakan.
“Bagi saya tidak timbul soal Datuk Samy curi semua limelight ..atau saya kena overshadow dibawah pentabirannya.
“Kita masing-masing ada tugas dan amanah yang perlu dipikul.”
Menurutnya tidak bererti tidak bercakap itu tidak buat kerja. Mohd Zin memberitahu dalam politik juga beliau berpegang kepada azimat perlunya lebih mendengar dari bercakap.
“Kalau nak bercakap biarlah berfakta…kalau tidak lebih baik mendiamkan diri.Orang politiknya ni sebaiknya 90 peratus mendengar dan hanya 10 peratus saja bercakap.
“Kadang-kadang kalau cakap lebih-lebih pun kita boleh terbabas cakap tidak berfakta yang akhirnya boleh merugikan diri kita balik,”tambahnya.
Beliau memberi contoh tentang beberapa kejadian dimana ada yang menteri cakap lain..timbalan cakap lain dalam sidang parlimen . “Itu soal dasar …saya tak mahu buat kesilapan macam tu.Soal dasar mesti konsisten…soal operasi ..saya fikir tak ada masalah kena overshadow atau apa-apa,”kata Mohd Zin.
Beliau gembira sekali dapat berkhidmat di Kementerian Kerjaraya kerana ia merupakan tempat kerja pertamanya setelah lulus dengan ijazah kejuruteraan dari Bradley Illinois University di Amerika dulu.
“Saya kerja di JKR Wilayah Persekutuan selama empat tahun mulai tahun 1980. Pejabatnya dulu bangunan kayu.Di situ sekarang terdiri Dewan Tan Sri Mahfoz tu,”katanya.
Atas sebab itu,kata Mohd Zin beliau cukup masak segala macam hal itu ini dalam kementerian itu.
Ini termasuk soal masalah kontraktor melayu.
Beliau menolak samasekali anggapan memandangkan kementerian itu diketuai oleh seorang tokoh MIC maka nasih kontraktor melayu tidak terbela.
“Masalah di sini bila orang cakap soal kontraktor ada yang melihat macam segalanya ada hubung kait dengan Kementerian Kerjaraya.
“Itu tak betul,”ujarnya.
Beliau memberi fakta bahawa dalam Bajet 2006 Kementerian Kerjaraya hanya dapat peruntukkan RM4.9 billion.
DI JKR KENA BUAT SECARA TENDER TERBUKA...“Jadi di sini jelas tak boleh kaitkan Kementerian Kerjaraya sahaja yang terlibat dalam soal pembinaan.”katanya.
“Kalau bercakap tentang dasar penyertaan bumiputra bukan hanya tugas dan tanggongjawab Kementerian Kerjaraya.Ia menjadi tanggongjawab kerajaan yang memerintah.
“Di Jabatan Perdana Menteri ada Unit Perancang Ekonomi (EOU).Ia adalah satu agensi utama yang tentukan penyertaan bumiputra selain dari pihak Perbendaharaan.
“Mana-mana yang berhubung kait tawaran kontrak..kita kena dapat perakuan arahan dikeluarkan oleh Perbendarahaan dan mana-mana tawaran kerja oleh JKR secara runding terus ia adalah satu proses yang juga mesti dapat kelulusan dari Perbendaharaan.
Di JKR kena buat secara tender terbuka…tender terbuka itu dia ada syarat-syaratnya dan kategori…dan banyak kelas yang ditetapkan.
Menurut Mohd Zin memang ada tender yang ditetapkan terhad kepada bumiputra. “Ini dilaksanakan diperingkat kementerian.Kita ada bahagian yang fokus penyertaan bumiputra.
“Kalau orang nak tuduh kementerian ni tak ada langsung lihat penyertaan bumiputra… tu pandangan itu tak tepat.”ujarnya.
Menurutnya kalau nak cakap soal industri pembinaan secara keseluruhan bukan saja di Kementerian Kerjaraya tetapi di kementerian mana-mana pun memang bumiputra menghadapi banyak masalah.
Ini katanya kerana struktur dan masalah industri ini secara keseluruhan.
“Contohnya..kontrak bernilai RM00 juta buat jalan …bekalan bahan, sewa mesin dan lain-lain bukan dikawal oleh bumiputra…itu saja sudah ‘makan’ 65 peratus dari nilai tender.
“Ini dari kajian yang saya dapat dari CIDB.Kalau betul-betul bumiputra nak buat 65 peratus dah habis…tinggal 35 peratus.Jadi berapa nak untung…nak dapat 10 peratus pun kena struggle.”
Sebab itu,katanya,kontraktor bumiputra dicop gemar jual kontrak untuk makan komisyen saja.
“Saya dimaklumkan kontraktor kelas F berdaftar yang ada berjumlah 40,000 tapi yang aktif hanya 13,000.
“Masalah di sini ialah semua orang nak jadi kontraktoir..yang cuci longkang nak jadi kontraktor..potong rumput nak jadi kontraktorr…cuci tandas nak nak jadi kontraktor.”
“Semasa saya jadi jurutera muda di JKR dulu ..masa tu setiap bukan bumiputra dia kawal 10 kontraktror kelas F…sekarang mereka dah naik pangkat kawal 10 kontraktor kelas A.Inilah masalahnya…ia bukan hal baru. SAYA BERPOLITIK KERANA INGIN BAYAR BALIK KEPADA SISTEM YANG MEMBUATKAN SAYA BERJAYA HINGGA JADI SEORANG JURUTERA...Apapun menurut Mohd Zin kementeriannya tidaklah berpeluk tubuh tetapi telah dan sedang merangka berbagai kaedah untuk membantu kontraktor khususnya bumiputra dalam mengharungi industri yang mencabar ini.
Katanya hal ini semua sentiasa mendapat perhatiannya.
"Ia sebahagian dari azam saya masuk berpolitik dulu.Saya berpolitik kerana ingin bayar balik kepada sistem yang membuatkan saya berjaya hingga jadi seorang jurutera.
"Keluarga saya memang orang susah.Bapa saya seorang buruh kasar…ibu saya pula buta huruf.Walaupun dengan serba kekurangan itu… sistem yang wujud hasil perjuangan UMNO mengubah kehidupan saya.
“ It’s payback time ,”ujarnya. (Di petik dari Agendadaily)
|