PROGRAM MUTIARA KASIH SAUDARA BARU UMNO SEPANG

Utusan Malaysia 21 Dis 2006 Oleh: W. RAHIMAD DRAMAN
Jodoh bagi pasangan hidup itu tidak mengenal jarak, tempat, rupa, bangsa dan keturunan. Jika sudah tersurat itu jodoh pasangan hidupnya, akan termeterailah janji melalui ijab dan kabul.

Itulah yang berlaku kepada 14 pasangan pelbagai bangsa dan keturunan sekitar Dengkil, Daerah Sepang Selangor baru-baru ini, apabila mereka dikembalikan kepada agama fitrah, Islam untuk disatu dan diikat sebagai suami isteri melalui ijab dan kabul.

Kesemua 14 pasangan dari pelbagai kepercayaan dan agama sebelum ini, dihimpunkan pada majlis persandingan besar-besaran yang meriah dalam program Mutiara Kasih Saudara Baru Daerah Sepang di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil, Ahad lepas.

Ia adalah usahasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Daerah dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Daerah Sepang serta Jawatankuasa Penduduk Taman Gemilang dan Ahli Parlimen Sepang.

Program dua hari itu turut disertakan dengan kursus dan bimbingan berumahtangga serta tanggungjawab sebagai suami dan isteri menurut tuntutan Islam untuk pasangan terlibat.

Meskipun hidup dan membesar bukan sebagai Muslim, namun dengan kehendak Allah s.w.t., hidayah agama suci itu mengetuk pintu hati mereka untuk kembali kepada agama fitrah itu dalam memulakan penghidupan baru sebagai suami isteri.

"Pengaruh dan dorongan kawan-kawanlah yang membawa saya untuk mendekati Islam, belajar dan akhirnya melafazkan syahadah,” cerita Muhammad Nazri Abdullah, 20, yang melafaz syahadah tiga bulan lalu.

Berketurunan Orang Asli dari suku Temuan dari Kampung Orang Asli Jenderam Hilir, Dengkil, jodohnya adalah dengan masyarakat serumpun tetapi dari suku yang berbeza.

Bekerja sebagai penghias taman di salah sebuah agensi landskap di Dengkil, beliau memilih Siti Rosmaria Abdullah dari suku Mahberi di Kampung Bumbung, Pulau Carey di Banting sebagai teman hidupnya.

Lebih menarik, Siti Rosmaria, 20, turut tertarik dengan Islam dan mengikut jejak Muhammad Nazri meskipun ahli keluarga masing-masing belum mendapat hidayah untuk menjadi Muslim.

Mereka adalah pasangan tunggal yang dinikahkan pada majlis persandingan beramai-ramai dalam program Mutiara Kasih Saudara Baru yang julung kali diadakan di daerah tersebut.

Sementara itu, 13 pasangan lain diijab dan kabul dalam tempoh antara dua bulan hingga dua tahun lalu.

"Sebenarnya program ini adalah untuk mengalu-alukan mereka sebagai saudara seagama di samping meraikan dan berkongsi kegembiraan bersejarah mereka secara bersama," kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir. Mohd Zain Mohammed.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut merasmikan program serta merenjiskan bunga rampai pada pasangan di majlis persandingan beramai-ramai itu.

Bagi pasangan yang disatukan lebih lapan bulan lalu, Mohd Assamarkandi Lee Abdullah, 26, dan Norliza Ada, 24, majlis tersebut akan menjadi sejarah manis untuk mereka.

“Saya amat terharu kerana tidak menyangka akan diraikan dengan majlis yang meriah sebegini,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Anak tunggal yang menjadi yatim piatu sejak lebih 10 tahun lalu ini sedang menuntut di tahun dua Institut Dakwah Islam Perkim di Pangkalan Chepa, Kelantan.

Dilahirkan dalam keluarga yang menganut kristian 26 tahun lalu, Mohd. Assamarkandi mendapat hidayah setelah melalui pelbagai ranjau kehidupan selepas kematian ibu bapanya sejak lebih lima tahun lalu.

“Saya merantau ke Kelantan untuk mendalami ilmu Islam dan ditakdirkan pula bertemu rakan yang sealiran semasa belajar di sana,” cerita bakal pendakwah kini mengikuti diploma pengajian Dakwah dan al-Quran di Institut Dakwah Islam Perkim itu.

Bercita-cita melanjutkan pengajian ke Mesir, Mohd. Assamarkandi berkata, perkahwinannya menguatkan lagi azam dan semangat membantu meningkatkan lagi syiar Islam khususnya kepada saudara baru.

Isterinya, Norliza yang dinikahi pada 9 Mac lalu membesar dengan kepercayaan masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Tampoi, Dengkil sebelum mendapat nur Islam.

Lain pula dengan kisah pasangan Sulaiman Veeran Amir Abdullah, 21 dan isterinya, Umi Kalsum Othman, 18.

Walaupun mereka dari kaum yang sama iaitu India, tetapi masing-masing mempunyai latar belakang kepercayaan agama berbeza.

Sulaiman dilahir dan dibesarkan dalam keluarga beragama hindu, manakala Umi Kalsum adalah dari keluarga India Muslim.

Tetapi beliau kembali kepada Islam hampir lima tahun lalu setelah mula mengenali dan menyelami agama suci itu ketika di bangku sekolah lagi.

Lebih bermakna bagi Sulaiman yang berasal dari Dengkil, apabila ibu bapanya turut mendapat hidayah menjadi Muslim selepas dua bulan dia melafazkan syahadah.

“Kini saya rasa lebih sempurna apabila mendapat pula seorang isteri dari keluarga yang beramal dengan Islam,” kata penuntut tahun tiga pengajian diploma dakwah dan al-Quran Institut Dakwah Islam Perkim di Kelantan itu.
0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Pautan Sepang
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Kerajaan Tempatan
Badan Berkanun Negeri
Agensi Kerajaan Negeri
Pejabat Daerah & Tanah
Kolej dan Universiti di Selangor
Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Pentadbir
    BLOGGER