Utusan Malaysia 30 Ogos 2006 KUALA LUMPUR 30 Ogos – Keputusan sama ada kadar tol di lebuh raya sekitar Lembah Klang dinaikkan tahun depan akan diputuskan Kabinet.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd. Zin Mohamed berkata, berdasarkan perjanjian konsesi sedia ada, syarikat berkenaan layak memohon kenaikan itu.
"Sama ada ia akan dilaksanakan mengikut jadual, terpulanglah kepada keputusan Kabinet," katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Daud Tarihep (BN-Kuala Selangor) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, lima syarikat konsesi lebuh raya meminta kerajaan menaikkan kadar tol di lebuh raya kendalian mereka di sekitar Lembah Klang pada tahun depan.
Lebuh raya terbabit adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Koridor Guthrie, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Sementara itu, menjawab soalan asal Mohd. Daud mengenai status pembinaan Lebuhraya Pantai Barat, Mohd. Zin berkata, rundingan perjanjian konsesi lebuh raya berkenaan telah dimuktamadkan dan hanya menunggu kelulusan Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum pembinaan dapat dimulakan.
Bagi Lebuhraya Templer Park-Assam Jawa pula, katanya, perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 10 November 1997 sudah luput tetapi pembinaannya masih belum dimulakan akibat kegawatan ekonomi.
"Kerajaan memutuskan supaya perjanjian konsesi tambahan ditandatangani kerana tarikh berkuat kuasa perjanjian ini sudah luput. Ketika ini draf akhir perjanjian konsesi tambahan sedang disemak UPE, JPM," katanya.
Mohd Zin berkata, projek berkenaan akan diberi keutamaan untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana ia dapat meningkatkan kelancaran lalu lintas serta menambah nilai sosio ekonomi masyarakat setempat.
"Bagaimanapun mengenai penglibatan kontraktor setempat, kerajaan tidak boleh mengarahkan mana-mana pihak yang melaksanakan projek penswastaan untuk mengambil sub-kontraktor tertentu," katanya
|