KAMPUNG KUNDANG MENANGI ANUGERAH DESA CEMERLANG



Kampung Kundang, salah sebuah kampung dalam Mukim Batu, Kuala Langat, dalam Parlimen Sepang sekali lagi mengulangi tradisi kampung-kampung cemerlang dalam DUN Tanjung Sepat apabila berjaya memenangi Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang 2005 peringkat Negeri Selangor.

Anugerah Desa Cemerlang ini yang merupakan anugerah tertinggi yang dapat dinobatkan kepada mana-mana kampung yang cemerlang dalam pelbagai aspek termasuklah antaranya aspek kepimpinan, kerohanian, usahawan dan keindahan adalah dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Wilayah (KKLW) dan dijalankan di peringkat daerah, negeri dan seterusnya di pertandingkan di peringkat kebangsaan.

Kejayaan Kg Kundang ini sebenarnya mewarisi tradisi kejayaan Kampung-kampung lain di DUN Tanjong Sepat yang berjaya sebelum ini iaitu Kg Endah, Kg Batu Laut dan tidak ketinggalan juga Kg Sg Lang Tengah, Kg Tanjung Sepat serta Kg Orang Asli Tanjung Sepat.

Baca artikel Oleh Wan Jailani Razak (Berita Harian 10 Disember 2006)
Perbezaan fahaman politik tidak halang penduduk bersatu capai wawasan, penuhi 10 aspek pemilihan

TERKENANG desa tempat kasih bersemi, juga tempat darah tertumpah? Teringat dingin air di kali dan rimbun menghijau pohon di laman? Kembalilah ke desa untuk menyegarkan nostalgia.

Alangkah bahagia dan permainya hidup di desa. Apatah lagi jika desa itu mencapai kesempurnaan dalam pelbagai aspek sehingga dinobatkan di peringkat kebangsaan sebagai Desa Cemerlang 2006!

Itulah Kampung Kundang. Letaknya di pinggir Selat Melaka di Kuala Langat, Selangor, yang memenuhi 10 aspek penilaian ahli panel Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menentukan pencapaian sesebuah kampung.

Kesempurnaan tertinggi dicapai Kampung Kundang berbanding 13 kampung lain di seluruh negara, membolehkannya menerima anugerah desa cemerlang yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 25 November lalu.

Walaupun tidak tersohor di atas peta, kampung yang namanya diambil sempena nama pokok kundang itu dianggap memiliki keunikan tersendiri apabila ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) saling berhubungan menerusi e-mel dan bukan surat, selain memiliki lagu, logo dan bendera sendiri.

Daripada sebuah kampung yang pada mulanya diterajui Nor Taib yang menjadi ketua kampung dari 1925 hingga 1943, kampung itu terus mengorak langkah untuk mencipta kemajuan.

Dengan terbentuknya barisan kepemimpinan berketrampilan selepas itu, Kampung Kundang kini yang diterajui Abdul Samat Ya’acob dan dibantu barisan Ahli JKKK serta kesepaduan penduduk pada semua peringat umur, semakin dikenali.

Abdul Samat berkata, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama penduduk dalam menjayakan setiap aktiviti berbekalkan semangat muafakat yang tinggi.

Mengimbas sejarah kewujudan kampung itu, beliau berkata, kampung berasal daripada nama pokok kundang yang tumbuh di Kuala Sungai itu mula diteroka pendatang dari Melaka, Sumatera dan Jawa pada 1890-an.

Katanya, kemajuan di kawasan itu yang kemudian dinamakan Kampung Kundang, terus meningkat dari semasa ke semasa termasuk dalam aspek kepemimpinan, kemudahan awam dan pembangunan ekonomi penduduk.

"Daripada segi kepemimpinan, kami berusaha membentuk semangat muafakat yang tinggi dalam mewujudkan kesepaduan penduduk dan keutuhan barisan kepemimpinan bagi memajukan kampung.

"Walaupun tidak dinafikan ada perbezaan fahaman politik di kalangan penduduk, mereka tetap bersatu mencapai wawasan kampung. Pembabitan kepemimpinan semua peringkat belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta memudahkan kami mencapai matlamat," katanya.

Abdul Samat berkata, dari segi ekonomi, sumber utama pendapatan 85 peratus penduduk adalah sektor pertanian dengan kelapa sawit menjadi tanaman utama iaitu 64.2 peratus daripada keluasan kampung.

Selain itu, katanya, tanaman kontan, buah-buahan, ternakan lembu dan ikan air tawar juga diusahakan penduduk dengan kerjasama Mardi, Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan.

"Bidang perniagaan juga menarik minat sebahagian besar penduduk terbabit dalam pemprosesan makanan ringan, jahitan, industri perkhidmatan, penyajian makanan, kedai runcit dan bengkel perabot serta besi.

"Dalam perusahaan kerepek dan kuih tradisional, misalnya, ada kalangan mereka berjaya mengeksport produk ke pasaran antarabangsa seperti Brunei, Hong Kong dan Singapura," katanya.

JKKK juga mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Ternakan, Persatuan Nelayan Kundang dan Sahabat Kontraktor bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi kampung.

Mengenai aspek kerohanian, katanya, kemudahan masjid, enam surau dan sekolah agama membolehkan aktiviti kerohanian dilaksanakan dengan terancang dan berkesan.

"JKKK juga mengadakan kelas bimbingan Iqra', tauhid, mengaji al-Quran dan ceramah serta sambutan hari kebesaran agama ke arah penghayatan cara hidup Islam.

"Kami mengadakan tilawah al-Quran peringkat mukim serta bacaan Yasin dan solat hajat. Kempen kesedaran, sukan dan rekreasi diadakan kepada golongan belia bersama persatuan belia," katanya.

Beliau berkata, daripada aspek pembangunan, kebersihan dan kesihatan, gotong-royong perdana kerap diadakan dengan penyertaan menyeluruh penduduk, selain pertandingan lorong cantik dan rumah sempurna.

Pusat pengumpulan kitar semula diwujudkan antaranya bagi menempatkan bahan buangan perusahaan kerepek untuk dijadikan makanan lembu yang diternak secara `feedlot'.

Setiap taman atau mercu tanda dijadikan anak angkat oleh pertubuhan seperti Belia 4B cawangan Kampung Kundang, Kelab Sukan & Rekreasi, Sahabat Kontraktor, Kelab Layang-Layang dan Pemuda Umno Cawangan.

Mengenai aspek pendidikan, seramai 114 penduduk kampung sudah dan sedang mengikuti pengajian di universiti tempatan dan luar negara. Kelas tuisyen Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta program motivasi juga diadakan bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Pusat Teknologi Maklumat (IT) Kampung Kundang dengan inisiatif JKKK ditubuhkan dan diurus tadbir dengan kerjasama Solsis (M) Sdn Bhd/Institut Harapan Banting, selain kursus keusahawanan, kraftangan dan lawatan sambil belajar yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

FAKTA
Kampung Kundang:
• Keluasan 860 hektar
• 485 rumah dan 3,096 penduduk.
• 85 peratus terbabit dalam sektor pertanian.
• Memenangi lebih 25 anugerah dan hadiah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
• Mewakili Selangor untuk pertandingan Desa Cemerlang peringkat Kebangsaan 2006 setelah dinobatkan sebagai Desa Cemerlang di peringkat negeri.

Antara anugerah yang pernah disandang:
Unit Peladang Jaya (2004)
Johan Pertandingan Kumpulan Pengembangan Wanita peringkat Kebangsaan dan
kementerian (2000)
Johan Pertandingan Landskap peringkat Kebangsaan (1997)
Kampung Terbaik Negeri Selangor (1997).

• 20 rumah terbabit dalam program homestay.
• Motto ‘Muafakat Berkat - Iman, Ilmu, Amal’.
• Boleh dihubungi dengan melayari laman web menerusi alamat www.kgkundang.com
atau telefon 03-31481162.

Lokasi:
• 50km dari Shah Alam.
• 30km dari Putrajaya.
• 20km dari Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
• 20km dari pusat pentadbiran daerah Kuala Langat.
• 10km dari Pantai Peranginan Morib.
• Terletak dalam Parlimen Sepang & Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat.

0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Pautan Sepang
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Kerajaan Tempatan
Badan Berkanun Negeri
Agensi Kerajaan Negeri
Pejabat Daerah & Tanah
Kolej dan Universiti di Selangor
Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Pentadbir
    BLOGGER