PROGRAM MUTIARA KASIH SAUDARA BARU UMNO SEPANG |
Utusan Malaysia 21 Dis 2006 Oleh: W. RAHIMAD DRAMAN Jodoh bagi pasangan hidup itu tidak mengenal jarak, tempat, rupa, bangsa dan keturunan. Jika sudah tersurat itu jodoh pasangan hidupnya, akan termeterailah janji melalui ijab dan kabul.
Itulah yang berlaku kepada 14 pasangan pelbagai bangsa dan keturunan sekitar Dengkil, Daerah Sepang Selangor baru-baru ini, apabila mereka dikembalikan kepada agama fitrah, Islam untuk disatu dan diikat sebagai suami isteri melalui ijab dan kabul.
Kesemua 14 pasangan dari pelbagai kepercayaan dan agama sebelum ini, dihimpunkan pada majlis persandingan besar-besaran yang meriah dalam program Mutiara Kasih Saudara Baru Daerah Sepang di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil, Ahad lepas.
Ia adalah usahasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Daerah dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Daerah Sepang serta Jawatankuasa Penduduk Taman Gemilang dan Ahli Parlimen Sepang.
Program dua hari itu turut disertakan dengan kursus dan bimbingan berumahtangga serta tanggungjawab sebagai suami dan isteri menurut tuntutan Islam untuk pasangan terlibat.
Meskipun hidup dan membesar bukan sebagai Muslim, namun dengan kehendak Allah s.w.t., hidayah agama suci itu mengetuk pintu hati mereka untuk kembali kepada agama fitrah itu dalam memulakan penghidupan baru sebagai suami isteri.
"Pengaruh dan dorongan kawan-kawanlah yang membawa saya untuk mendekati Islam, belajar dan akhirnya melafazkan syahadah,” cerita Muhammad Nazri Abdullah, 20, yang melafaz syahadah tiga bulan lalu.
Berketurunan Orang Asli dari suku Temuan dari Kampung Orang Asli Jenderam Hilir, Dengkil, jodohnya adalah dengan masyarakat serumpun tetapi dari suku yang berbeza.
Bekerja sebagai penghias taman di salah sebuah agensi landskap di Dengkil, beliau memilih Siti Rosmaria Abdullah dari suku Mahberi di Kampung Bumbung, Pulau Carey di Banting sebagai teman hidupnya.
Lebih menarik, Siti Rosmaria, 20, turut tertarik dengan Islam dan mengikut jejak Muhammad Nazri meskipun ahli keluarga masing-masing belum mendapat hidayah untuk menjadi Muslim.
Mereka adalah pasangan tunggal yang dinikahkan pada majlis persandingan beramai-ramai dalam program Mutiara Kasih Saudara Baru yang julung kali diadakan di daerah tersebut.
Sementara itu, 13 pasangan lain diijab dan kabul dalam tempoh antara dua bulan hingga dua tahun lalu.
"Sebenarnya program ini adalah untuk mengalu-alukan mereka sebagai saudara seagama di samping meraikan dan berkongsi kegembiraan bersejarah mereka secara bersama," kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir. Mohd Zain Mohammed.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut merasmikan program serta merenjiskan bunga rampai pada pasangan di majlis persandingan beramai-ramai itu.
Bagi pasangan yang disatukan lebih lapan bulan lalu, Mohd Assamarkandi Lee Abdullah, 26, dan Norliza Ada, 24, majlis tersebut akan menjadi sejarah manis untuk mereka.
“Saya amat terharu kerana tidak menyangka akan diraikan dengan majlis yang meriah sebegini,” katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Anak tunggal yang menjadi yatim piatu sejak lebih 10 tahun lalu ini sedang menuntut di tahun dua Institut Dakwah Islam Perkim di Pangkalan Chepa, Kelantan.
Dilahirkan dalam keluarga yang menganut kristian 26 tahun lalu, Mohd. Assamarkandi mendapat hidayah setelah melalui pelbagai ranjau kehidupan selepas kematian ibu bapanya sejak lebih lima tahun lalu.
“Saya merantau ke Kelantan untuk mendalami ilmu Islam dan ditakdirkan pula bertemu rakan yang sealiran semasa belajar di sana,” cerita bakal pendakwah kini mengikuti diploma pengajian Dakwah dan al-Quran di Institut Dakwah Islam Perkim itu.
Bercita-cita melanjutkan pengajian ke Mesir, Mohd. Assamarkandi berkata, perkahwinannya menguatkan lagi azam dan semangat membantu meningkatkan lagi syiar Islam khususnya kepada saudara baru.
Isterinya, Norliza yang dinikahi pada 9 Mac lalu membesar dengan kepercayaan masyarakat Orang Asli di Kampung Bukit Tampoi, Dengkil sebelum mendapat nur Islam.
Lain pula dengan kisah pasangan Sulaiman Veeran Amir Abdullah, 21 dan isterinya, Umi Kalsum Othman, 18.
Walaupun mereka dari kaum yang sama iaitu India, tetapi masing-masing mempunyai latar belakang kepercayaan agama berbeza.
Sulaiman dilahir dan dibesarkan dalam keluarga beragama hindu, manakala Umi Kalsum adalah dari keluarga India Muslim.
Tetapi beliau kembali kepada Islam hampir lima tahun lalu setelah mula mengenali dan menyelami agama suci itu ketika di bangku sekolah lagi.
Lebih bermakna bagi Sulaiman yang berasal dari Dengkil, apabila ibu bapanya turut mendapat hidayah menjadi Muslim selepas dua bulan dia melafazkan syahadah.
“Kini saya rasa lebih sempurna apabila mendapat pula seorang isteri dari keluarga yang beramal dengan Islam,” kata penuntut tahun tiga pengajian diploma dakwah dan al-Quran Institut Dakwah Islam Perkim di Kelantan itu. Baca Seterusnya!
|
|
|
KAMPUNG KUNDANG MENANGI ANUGERAH DESA CEMERLANG |
Kampung Kundang, salah sebuah kampung dalam Mukim Batu, Kuala Langat, dalam Parlimen Sepang sekali lagi mengulangi tradisi kampung-kampung cemerlang dalam DUN Tanjung Sepat apabila berjaya memenangi Pertandingan Anugerah Desa Cemerlang 2005 peringkat Negeri Selangor.
Anugerah Desa Cemerlang ini yang merupakan anugerah tertinggi yang dapat dinobatkan kepada mana-mana kampung yang cemerlang dalam pelbagai aspek termasuklah antaranya aspek kepimpinan, kerohanian, usahawan dan keindahan adalah dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Wilayah (KKLW) dan dijalankan di peringkat daerah, negeri dan seterusnya di pertandingkan di peringkat kebangsaan.
Kejayaan Kg Kundang ini sebenarnya mewarisi tradisi kejayaan Kampung-kampung lain di DUN Tanjong Sepat yang berjaya sebelum ini iaitu Kg Endah, Kg Batu Laut dan tidak ketinggalan juga Kg Sg Lang Tengah, Kg Tanjung Sepat serta Kg Orang Asli Tanjung Sepat.
Baca artikel Oleh Wan Jailani Razak (Berita Harian 10 Disember 2006) Perbezaan fahaman politik tidak halang penduduk bersatu capai wawasan, penuhi 10 aspek pemilihan
TERKENANG desa tempat kasih bersemi, juga tempat darah tertumpah? Teringat dingin air di kali dan rimbun menghijau pohon di laman? Kembalilah ke desa untuk menyegarkan nostalgia.
Alangkah bahagia dan permainya hidup di desa. Apatah lagi jika desa itu mencapai kesempurnaan dalam pelbagai aspek sehingga dinobatkan di peringkat kebangsaan sebagai Desa Cemerlang 2006!
Itulah Kampung Kundang. Letaknya di pinggir Selat Melaka di Kuala Langat, Selangor, yang memenuhi 10 aspek penilaian ahli panel Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menentukan pencapaian sesebuah kampung.
Kesempurnaan tertinggi dicapai Kampung Kundang berbanding 13 kampung lain di seluruh negara, membolehkannya menerima anugerah desa cemerlang yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 25 November lalu.
Walaupun tidak tersohor di atas peta, kampung yang namanya diambil sempena nama pokok kundang itu dianggap memiliki keunikan tersendiri apabila ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) saling berhubungan menerusi e-mel dan bukan surat, selain memiliki lagu, logo dan bendera sendiri.
Daripada sebuah kampung yang pada mulanya diterajui Nor Taib yang menjadi ketua kampung dari 1925 hingga 1943, kampung itu terus mengorak langkah untuk mencipta kemajuan.
Dengan terbentuknya barisan kepemimpinan berketrampilan selepas itu, Kampung Kundang kini yang diterajui Abdul Samat Ya’acob dan dibantu barisan Ahli JKKK serta kesepaduan penduduk pada semua peringat umur, semakin dikenali.
Abdul Samat berkata, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama penduduk dalam menjayakan setiap aktiviti berbekalkan semangat muafakat yang tinggi.
Mengimbas sejarah kewujudan kampung itu, beliau berkata, kampung berasal daripada nama pokok kundang yang tumbuh di Kuala Sungai itu mula diteroka pendatang dari Melaka, Sumatera dan Jawa pada 1890-an.
Katanya, kemajuan di kawasan itu yang kemudian dinamakan Kampung Kundang, terus meningkat dari semasa ke semasa termasuk dalam aspek kepemimpinan, kemudahan awam dan pembangunan ekonomi penduduk.
"Daripada segi kepemimpinan, kami berusaha membentuk semangat muafakat yang tinggi dalam mewujudkan kesepaduan penduduk dan keutuhan barisan kepemimpinan bagi memajukan kampung.
"Walaupun tidak dinafikan ada perbezaan fahaman politik di kalangan penduduk, mereka tetap bersatu mencapai wawasan kampung. Pembabitan kepemimpinan semua peringkat belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta memudahkan kami mencapai matlamat," katanya.
Abdul Samat berkata, dari segi ekonomi, sumber utama pendapatan 85 peratus penduduk adalah sektor pertanian dengan kelapa sawit menjadi tanaman utama iaitu 64.2 peratus daripada keluasan kampung.
Selain itu, katanya, tanaman kontan, buah-buahan, ternakan lembu dan ikan air tawar juga diusahakan penduduk dengan kerjasama Mardi, Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan.
"Bidang perniagaan juga menarik minat sebahagian besar penduduk terbabit dalam pemprosesan makanan ringan, jahitan, industri perkhidmatan, penyajian makanan, kedai runcit dan bengkel perabot serta besi.
"Dalam perusahaan kerepek dan kuih tradisional, misalnya, ada kalangan mereka berjaya mengeksport produk ke pasaran antarabangsa seperti Brunei, Hong Kong dan Singapura," katanya.
JKKK juga mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Ternakan, Persatuan Nelayan Kundang dan Sahabat Kontraktor bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi kampung.
Mengenai aspek kerohanian, katanya, kemudahan masjid, enam surau dan sekolah agama membolehkan aktiviti kerohanian dilaksanakan dengan terancang dan berkesan.
"JKKK juga mengadakan kelas bimbingan Iqra', tauhid, mengaji al-Quran dan ceramah serta sambutan hari kebesaran agama ke arah penghayatan cara hidup Islam.
"Kami mengadakan tilawah al-Quran peringkat mukim serta bacaan Yasin dan solat hajat. Kempen kesedaran, sukan dan rekreasi diadakan kepada golongan belia bersama persatuan belia," katanya.
Beliau berkata, daripada aspek pembangunan, kebersihan dan kesihatan, gotong-royong perdana kerap diadakan dengan penyertaan menyeluruh penduduk, selain pertandingan lorong cantik dan rumah sempurna.
Pusat pengumpulan kitar semula diwujudkan antaranya bagi menempatkan bahan buangan perusahaan kerepek untuk dijadikan makanan lembu yang diternak secara `feedlot'.
Setiap taman atau mercu tanda dijadikan anak angkat oleh pertubuhan seperti Belia 4B cawangan Kampung Kundang, Kelab Sukan & Rekreasi, Sahabat Kontraktor, Kelab Layang-Layang dan Pemuda Umno Cawangan.
Mengenai aspek pendidikan, seramai 114 penduduk kampung sudah dan sedang mengikuti pengajian di universiti tempatan dan luar negara. Kelas tuisyen Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta program motivasi juga diadakan bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
Pusat Teknologi Maklumat (IT) Kampung Kundang dengan inisiatif JKKK ditubuhkan dan diurus tadbir dengan kerjasama Solsis (M) Sdn Bhd/Institut Harapan Banting, selain kursus keusahawanan, kraftangan dan lawatan sambil belajar yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.
FAKTA Kampung Kundang: • Keluasan 860 hektar • 485 rumah dan 3,096 penduduk. • 85 peratus terbabit dalam sektor pertanian. • Memenangi lebih 25 anugerah dan hadiah di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. • Mewakili Selangor untuk pertandingan Desa Cemerlang peringkat Kebangsaan 2006 setelah dinobatkan sebagai Desa Cemerlang di peringkat negeri.
Antara anugerah yang pernah disandang: Unit Peladang Jaya (2004) Johan Pertandingan Kumpulan Pengembangan Wanita peringkat Kebangsaan dan kementerian (2000) Johan Pertandingan Landskap peringkat Kebangsaan (1997) Kampung Terbaik Negeri Selangor (1997).
• 20 rumah terbabit dalam program homestay. • Motto ‘Muafakat Berkat - Iman, Ilmu, Amal’. • Boleh dihubungi dengan melayari laman web menerusi alamat www.kgkundang.com atau telefon 03-31481162.
Lokasi: • 50km dari Shah Alam. • 30km dari Putrajaya. • 20km dari Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA). • 20km dari pusat pentadbiran daerah Kuala Langat. • 10km dari Pantai Peranginan Morib. • Terletak dalam Parlimen Sepang & Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat.
Baca Seterusnya!
|
|
|
LEBUH RAYA DITAMBAH 3 LORONG ATASI KESESAKAN |
Utusan Malaysia 19 Dic 2006 KUALA LUMPUR 19 Dis - Kerajaan tidak bercadang menambah lorong keempat di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) kerana ia bukan penyelesaian kepada kesesakan semasa musim perayaan dan cuti umum.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd. Zin Mohamed berkata, bagaimanapun kerajaan memutuskan untuk melebarkan dua lorong kepada tiga lorong di beberapa lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kesesakan.
Lorong-lorong terbabit ialah di Seremban-Senawang, Senawang-Air Keroh, Rawang-Tanjung Malim, Tanjung Malim-Slim River dan laluan tanpa henti antara Jelapang ke Plaza Tol Ipoh Selatan.
"Kerajaan juga tidak bercadang untuk menambah bilangan lorong jalan sejauh tiga kilometer sebelum tiba di sesebuah plaza tol kerana berpendapat ia tidak dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr. Mohd Puad Zarkashi pada Persidangan Dewan Negara di sini hari.
Mohd. Zin berkata, kesesakan teruk di plaza tol dijangka dapat diselesaikan selepas cadangan sistem bayaran tol laluan tanpa henti dilaksanakan kerana kesesakan yang berlaku disebabkan oleh kenderaan yang berhenti untuk membayar tol. Baca Seterusnya!
|
|
|
TOL : KENAIKAN DIPUTUSKAN KABINET - DATO' ZIN |
Utusan Malaysia 30 Ogos 2006 KUALA LUMPUR 30 Ogos – Keputusan sama ada kadar tol di lebuh raya sekitar Lembah Klang dinaikkan tahun depan akan diputuskan Kabinet.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd. Zin Mohamed berkata, berdasarkan perjanjian konsesi sedia ada, syarikat berkenaan layak memohon kenaikan itu.
"Sama ada ia akan dilaksanakan mengikut jadual, terpulanglah kepada keputusan Kabinet," katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Daud Tarihep (BN-Kuala Selangor) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, lima syarikat konsesi lebuh raya meminta kerajaan menaikkan kadar tol di lebuh raya kendalian mereka di sekitar Lembah Klang pada tahun depan.
Lebuh raya terbabit adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Koridor Guthrie, Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Sementara itu, menjawab soalan asal Mohd. Daud mengenai status pembinaan Lebuhraya Pantai Barat, Mohd. Zin berkata, rundingan perjanjian konsesi lebuh raya berkenaan telah dimuktamadkan dan hanya menunggu kelulusan Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebelum pembinaan dapat dimulakan.
Bagi Lebuhraya Templer Park-Assam Jawa pula, katanya, perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 10 November 1997 sudah luput tetapi pembinaannya masih belum dimulakan akibat kegawatan ekonomi.
"Kerajaan memutuskan supaya perjanjian konsesi tambahan ditandatangani kerana tarikh berkuat kuasa perjanjian ini sudah luput. Ketika ini draf akhir perjanjian konsesi tambahan sedang disemak UPE, JPM," katanya.
Mohd Zin berkata, projek berkenaan akan diberi keutamaan untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana ia dapat meningkatkan kelancaran lalu lintas serta menambah nilai sosio ekonomi masyarakat setempat.
"Bagaimanapun mengenai penglibatan kontraktor setempat, kerajaan tidak boleh mengarahkan mana-mana pihak yang melaksanakan projek penswastaan untuk mengambil sub-kontraktor tertentu," katanya Baca Seterusnya!
|
|
|
PM ULANGI GESAAN RAKYAT PULIHARA ALAM SEKITAR |
Utusan Malaysia 15 Mac 2007 PUTRAJAYA 15 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulangi gesaan beliau supaya masyarakat melaksanakan kewajipan masing-masing dengan memulihara alam sekitar demi keceriaan, keselesaan dan kesihatan.
Perdana Menteri berkata, seruan itu juga selaras dengan prinsip Islam Hadhari yang menekankan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.
“Sudah jadi satu kewajipan bahawa manusia perlu menghargai nikmat yang diberi Allah dan kita perlu melihat kepada faedah yang boleh diperoleh daripada alam sekitar.
“Ia bukan untuk keceriaan, keselesaan dan kesihatan sahaja malah merangkumi banyak nikmat lain,” kata Abdullah ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Misi Membina Hijau anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Yang Dipertua Puspanita, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin.
Kempen Misi Membina Hijau itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan dibantu ahli-ahli World Green Building Council.
Pembangunan yang dibangunkan di bawah misi itu mempunyai enam kriteria iaitu kemapanan tapak, penjimatan air, kecekapan tenaga, penjimatan sumber dan bahan, kualiti persekitaran dalaman dan inovasi dalam reka bentuk.
Menurut Perdana Menteri, alam sekitar perlu dipelihara namun malangnya ada manusia mengambil kesempatan memusnahkannya sehingga mendatangkan keburukan.
"Apa yang dilakukan kepada alam sekitar perlu menjadi satu pengajaran," katanya.
Oleh: HABIBAH OMAR dan HELMI MOHD. FOAD
Baca Seterusnya!
|
|
|
|
Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.
Doa awal tahun Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Selawat dan Salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.
Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agung dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekelian kuncunya, tenteranya dan penolongnya.
Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong kearah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.
Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam…Amin
Waktu Membacanya…Doa ini dibaca 3 kali setelah masuk waktu Magrib pada malam 1 Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan.’ Baca Seterusnya!
|
|
|
10,000 IRINGI CALON BN |
Lebih 10,000 penyokong mengiringi calon Barisan Nasional
Dato Mohd Zin Mohamad antara pemimpin tertinggi UMNO yang turut berada di Batu Talam bagi mengiring calon BN ke pusat penamaan calon
Dato Mohd Zin Mohamad antara ribuan penyokong Barisan Nasional
Bersama kawan lama
RAUB 16 Jan. – Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan N6 Batu Talam pada 28 Januari ini menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) dan calon bebas.
Pada pilihan raya itu, calon BN, Abd. Aziz Mat Kiram, 47, akan ditentang calon bebas, Ng Chee Pang, 22, seorang ahli perniagaan yang juga anak kepada Bendahari DAP Pahang.
Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Batu Talam, Abdul Kadir Awang Bakar pada pukul 11.10 pagi selepas waktu bantahan ditutup pukul 11 pagi di Bilik Gerakan Pilihan Raya di Pejabat Tanah dan Daerah Raub di sini.
Sehingga proses penamaan calon tamat, hanya seorang calon bebas mengemukakan borang pencalonan.
Calon BN hadir bersama pencadangnya, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid dan penyokong, Mohd. Razali Hamzah pada pukul 9.31 pagi di pusat penamaan calon.
Chee Pang bersama pencadangnya, Lee Tong Heng dan penyokong, Wan Siew Cheng pula tiba lebih awal iaitu pada pukul 9.02 pagi. Chee Pang memilih lambang bas.
Sementara itu hampir 10,000 penyokong BN memenuhi pekarangan Majlis Daerah Raub untuk memberikan sokongan sejak pukul 7 pagi.
Semangat penyokong BN juga diperkukuh dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan pemimpin parti-parti komponen BN yang lain.
Baca Seterusnya!
|
|
|
UCAPAN PRESIDEN MELONJAK KEKUATAN MINDA |
UCAPAN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bakal melonjakkan kekuatan minda dan iltizam di kalangan ahli parti untuk terus berjuang mengangkat martabat agama, bangsa dan negara.
Ia turut menyuntik semangat juang ahli dengan mengimbau kembali 12 asas utama yang dijadikan garis panduan sebagai landasan ke arah mencapai hasrat tersebut.
Baca Seterusnya!
|
|
|
"KARIER POLITIK SAYA BERMULA DARI 'GROUND ZERO" |
SEGALANYA BUKAN DI RANCANG... Dari tingkap pejabatnya di tingkat empat Komplek Kerjaraya kita dapat melihat Menara Dato Onn dimana terletaknya ibupejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Pemandangan itu seolah sentiasa menjadi sumber inspirasi bagi Timbalan Menteri Kerjaraya Datuk Ir Mohd Zin Mohamad.
Ini dapat disimpulkan dari cara beliau dengan bangganya bercerita tentang sudut itu yang membelakangi meja kerjanya. Pejabatnya yang dihiasi oleh beberapa lukisan mural serta susun atur berbentuk hightec itu dengan sendirinya memberi suasana yang simple tetapi selesa.
Pada satu petang selepas waktu pejabat baru-baru ini Agendadaily menghabiskan hampir dua jam bersembang dengannya. Ini kerana terasa beliau agak ‘menyepi’ sikit kebelakangan ini.
Sebelum pilihanraya umum Mac 2004 lalu,wajahnya kerap muncul di kaca televisyen dan di dada akhbar.Waktu itu jawatannya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) di Parlimen memberi lesen besar baginya untuk bercakap.
Selain kerap diburu wartawan untuk mendapat berbagai ulasan isu semasa,jawatan itu penghulu kepada ahli-ahli parlimen Barisan Nasional yang tidak ada jawatan kerajaan itu memerlukannya menangani banyak lain yang sentiasa meletakannya dalam limelight.
Mohd Zin yang dipilih bertanding semula pilihanraya umum tahun itu di kawasan baru di Sepang,Selangor tidak menduga beliau melangkah setapak lagi dalam karier politiknya bila dipilih jadi Timbalan Menteri Kerjaya.
Sebelum beliau adalah ahli parlimen kawasan Shah Alam, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam dan seketika sebagai Ketua Penaja UMNO Bahagian Kota Raja. Kini selain dari ahli parlimen Sepang,beliau juga adalah Ketua UMNO Bahagian itu.
“Segalanya bukan dirancang…saya sendiri tidak menduga kena pindah kawasan ke Sepang.Kita ikut saja perintah YAB Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar,”katanya.
Mohd Zin sebenarnya sudah sinonim dengan politik UMNO Bahagian Shah Alam. Di bahagian itulah beliau mula melangkah masuk ke dalam politik pada tahun 1986 di UMNO Cawangan Seksyen 8. Beliau telah meniti setapak demi setapak peningkatan penglibatannya dalam arina ini di bahagian itu.
Tiga tahun selepas itu Mohd Zin berjaya menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam. Kemudiannya beliau melangkah masuk ke arus perdana politik Pemuda UMNO peringkat nasional menerusi jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang dimenanginya.
Beliau juga pernah merasa menjadi seorang ahli dewan undangan negeri selama satu penggal di kawasan Kota Raja,Shah Alam sebelum dipilih bertanding kerusi parlimen pada pilihanraya umum 1999. SAYA BANYAK TERLIBAT KERJA-KERJA DI BAWAH UNTUK MEMBANTU PUCUK PIMPINAN...Bagi mereka yang masih ingat ia satu pilihanraya yang amat mendebarkan bagi Barisan Nasional.Ini kerana ia berlangsung semasa memuncaknya era reformasi pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shah Alam dikira salah sebuah kawasan kelabu apalagi calon Parti Keadilan yang beliau kena berentap ialah orang kuat parti itu,Ezam Mohd Nor sendiri. Mohd Zin menang tipis walaupun asalnya ramai yang menduga beliau bakal tewas.
Penglibatan politiknya di bahagian Shah Alam terhenti bila beliau berpindah jadi Ketua Penaja UMNO Bahagian Kota Raja berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya. Beliau tidak lama di situ kerana terima arahan untuk berpindah bertanding di parlimen Sepang pula dalam pilihanraya 2004.
“Karier politik saya sebenarnya bermula dari ground zero ,”kata Mohd Zin sambil memberitahu beliau telah melalui segala macam cabaran,sepak terajang dan asam garam berpolitik.
UMNO Bahagian Shah Alam sendiri dulunya merupakan kawasan yang panas.Beberapa pergolakan berlaku termasuk pemilihan sensasi dimana bekas Exco Kerajaan Negeri Datuk Sujak tumbang ditangan Datuk Salamon Selamat.
Sebab itu beliau kurang senang kalau ada yang copnya ‘tiba-tiba’ dilantik jadi Timbalan Menteri.
“Itu cakap orang yang tak tahu sejarah saya dari awal,”katanya.
Mohd Zin juga membuat hattrick pada pemilihan jawatan Majlis Tertinggi UMNO November 2004.
Pertama kali masuk gelanggang…ramai yang terkejut bila beliau mendapat nombor ke empat dari 25 orang calon yang menang jawatan itu. Mohd Zin meraih 1,765 mengatasi calon-calon lain yang lebih senior termasuk menteri dan Menteri Besar.
Bila bercakap dengan rakan-rakan beliau gemar menyebut dirinya sebagai operator.
Apakah ini menjadi salah satu faktornya?
Beliau tidak mahu menghurai lebih lanjut maksudnya kecuali memberitahu ia banyak melibatkan ‘kerja-kerja dibawah’ untuk membantu pucuk pimpinan.
Mungkin ini memberinya kesempatan untuk mewujudkan networking politik yang meluas dengan berbagai peringkat di seluruh negara.
Hal ini pun tidak mahu diulasnya.Beliau hanya memberi petua ringkas iaitu ‘ untuk berpolitik kita harus sentiasa tahu keadaan semasa padang permainan kita.’
Katanya bukan sahaja berpolitik tetapi dalam apa jua bidang pengetahuan itu amat penting.
KALAU KITA BAIK DENGAN PM ATAU TPM SEKALIPUN TETAPI KITA TIDAK ADA KEKUATAN SENDIRI DI PERINGKAT GRASSROOT...KITA TIDAK AKAN KEMANA...Walaupun diketahui umum dikalangan orang politik beliau rapat dengan keduanya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak,beliau menolak andaian bahawa connection dengan orang atas adalah faktor penentu segalanya untuk naik.
“Kalau kita baik dengan PM atau TPM sekalipun tetapi kita tidak ada kekuatan sendiri di peringkat grassroot … kita tidak akan kemana,”katanya.
Menurutnya setiap ahli politik itu harus menjadikan dirinya ibarat ikon di skrin komputer untuk membolehkan dirinya disunting menapak keatas.
“Mungkin ada satu dua kes terpencil orang yang boleh baik sekelip mata tetapi undang-undang berpolitik sentiasa mewajibkan kita mempunyai kekuatan tersendiri dahulu,”ujranya.
Mohd Zin menjelaskan beliau mengenali Pak Lah dan Najib bukan sehari dua kebelakangan ini.
“Waktu itu Pak Lah sendiri tidak terfikir langsung beliau akan jadi Perdana Menteri satu nanti nanti,begitu juga Datuk Najib.Saya juga tidak pernah bermimpi akan jadi Timbalan Menteri.
“Saya kenal Pak Lah sejak zaman saya pelajar di ITM lagi.Waktu itu beliau Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Belia.Kami berkenalan semasa beberapa program yang beliau hadir.
“Datuk Najib juga diperingkat awal semasa saya belum lagi jadi Ketua Pemuda Shah Alam.Kemudiannya saya jadi Exco Pemuda dibawah pimpinannya.
“Kini mereka adalah kawan dan pemimpin saya,”ujarnya.
Beliau mengakui dalam politik faktor nasib dan senario politik juga memainkan peranan. Katakan tidak timbul isu Datuk Seri Anwar Ibrahim…mungkin sekarang saya tidak sampai ke peringkat ini.
“Siapa tahu keadaan keseluruhan mungkin berbeza…,” katanya.
Perbualan itu juga meniti ke soal tanggongan tugas di kementerian berketuakan Datuk Seri S Samy Vellu yang dilihat seorang ahli politik yang agresif dan vokal.
Terdapat cakap-cakap mengatakan bahawa sesiapa yang menjadi timbalannya pasti digerhanakannya kerana Presiden MIC itu sentiasa mencuri perhatian media.
Bagi Mohd Zin Menterinya adalah sama dengan bos-bos lain.”Saya tidak hadapi apa-apa masalah berkerja dibawahnya,”katanya.
Katanya mereka ada hubungan kerja yang baik. “Saya boleh telefon Datuk Samy tengah malam pun beliau pasti angkat,”katanya.
KITA MASING-MASING ADA TUGAS DAN AMANAH YANG PERLU DIPIKUL...Menurutnya sebagai orang yang mengetuai kementerian itu Datuk Samy memikul tanggongjawab besar bagi memastikan semuanya OK.
“Saya ni Timbalan Menteri sahaja…bila ada pembahagian tugas bagi saya… misalnya kena buat pengumuman itu ini…saya akan laksanakan.
“Bagi saya tidak timbul soal Datuk Samy curi semua limelight ..atau saya kena overshadow dibawah pentabirannya.
“Kita masing-masing ada tugas dan amanah yang perlu dipikul.”
Menurutnya tidak bererti tidak bercakap itu tidak buat kerja. Mohd Zin memberitahu dalam politik juga beliau berpegang kepada azimat perlunya lebih mendengar dari bercakap.
“Kalau nak bercakap biarlah berfakta…kalau tidak lebih baik mendiamkan diri.Orang politiknya ni sebaiknya 90 peratus mendengar dan hanya 10 peratus saja bercakap.
“Kadang-kadang kalau cakap lebih-lebih pun kita boleh terbabas cakap tidak berfakta yang akhirnya boleh merugikan diri kita balik,”tambahnya.
Beliau memberi contoh tentang beberapa kejadian dimana ada yang menteri cakap lain..timbalan cakap lain dalam sidang parlimen . “Itu soal dasar …saya tak mahu buat kesilapan macam tu.Soal dasar mesti konsisten…soal operasi ..saya fikir tak ada masalah kena overshadow atau apa-apa,”kata Mohd Zin.
Beliau gembira sekali dapat berkhidmat di Kementerian Kerjaraya kerana ia merupakan tempat kerja pertamanya setelah lulus dengan ijazah kejuruteraan dari Bradley Illinois University di Amerika dulu.
“Saya kerja di JKR Wilayah Persekutuan selama empat tahun mulai tahun 1980. Pejabatnya dulu bangunan kayu.Di situ sekarang terdiri Dewan Tan Sri Mahfoz tu,”katanya.
Atas sebab itu,kata Mohd Zin beliau cukup masak segala macam hal itu ini dalam kementerian itu.
Ini termasuk soal masalah kontraktor melayu.
Beliau menolak samasekali anggapan memandangkan kementerian itu diketuai oleh seorang tokoh MIC maka nasih kontraktor melayu tidak terbela.
“Masalah di sini bila orang cakap soal kontraktor ada yang melihat macam segalanya ada hubung kait dengan Kementerian Kerjaraya.
“Itu tak betul,”ujarnya.
Beliau memberi fakta bahawa dalam Bajet 2006 Kementerian Kerjaraya hanya dapat peruntukkan RM4.9 billion.
DI JKR KENA BUAT SECARA TENDER TERBUKA...“Jadi di sini jelas tak boleh kaitkan Kementerian Kerjaraya sahaja yang terlibat dalam soal pembinaan.”katanya.
“Kalau bercakap tentang dasar penyertaan bumiputra bukan hanya tugas dan tanggongjawab Kementerian Kerjaraya.Ia menjadi tanggongjawab kerajaan yang memerintah.
“Di Jabatan Perdana Menteri ada Unit Perancang Ekonomi (EOU).Ia adalah satu agensi utama yang tentukan penyertaan bumiputra selain dari pihak Perbendaharaan.
“Mana-mana yang berhubung kait tawaran kontrak..kita kena dapat perakuan arahan dikeluarkan oleh Perbendarahaan dan mana-mana tawaran kerja oleh JKR secara runding terus ia adalah satu proses yang juga mesti dapat kelulusan dari Perbendaharaan.
Di JKR kena buat secara tender terbuka…tender terbuka itu dia ada syarat-syaratnya dan kategori…dan banyak kelas yang ditetapkan.
Menurut Mohd Zin memang ada tender yang ditetapkan terhad kepada bumiputra. “Ini dilaksanakan diperingkat kementerian.Kita ada bahagian yang fokus penyertaan bumiputra.
“Kalau orang nak tuduh kementerian ni tak ada langsung lihat penyertaan bumiputra… tu pandangan itu tak tepat.”ujarnya.
Menurutnya kalau nak cakap soal industri pembinaan secara keseluruhan bukan saja di Kementerian Kerjaraya tetapi di kementerian mana-mana pun memang bumiputra menghadapi banyak masalah.
Ini katanya kerana struktur dan masalah industri ini secara keseluruhan.
“Contohnya..kontrak bernilai RM00 juta buat jalan …bekalan bahan, sewa mesin dan lain-lain bukan dikawal oleh bumiputra…itu saja sudah ‘makan’ 65 peratus dari nilai tender.
“Ini dari kajian yang saya dapat dari CIDB.Kalau betul-betul bumiputra nak buat 65 peratus dah habis…tinggal 35 peratus.Jadi berapa nak untung…nak dapat 10 peratus pun kena struggle.”
Sebab itu,katanya,kontraktor bumiputra dicop gemar jual kontrak untuk makan komisyen saja.
“Saya dimaklumkan kontraktor kelas F berdaftar yang ada berjumlah 40,000 tapi yang aktif hanya 13,000.
“Masalah di sini ialah semua orang nak jadi kontraktoir..yang cuci longkang nak jadi kontraktor..potong rumput nak jadi kontraktorr…cuci tandas nak nak jadi kontraktor.”
“Semasa saya jadi jurutera muda di JKR dulu ..masa tu setiap bukan bumiputra dia kawal 10 kontraktror kelas F…sekarang mereka dah naik pangkat kawal 10 kontraktor kelas A.Inilah masalahnya…ia bukan hal baru. SAYA BERPOLITIK KERANA INGIN BAYAR BALIK KEPADA SISTEM YANG MEMBUATKAN SAYA BERJAYA HINGGA JADI SEORANG JURUTERA...Apapun menurut Mohd Zin kementeriannya tidaklah berpeluk tubuh tetapi telah dan sedang merangka berbagai kaedah untuk membantu kontraktor khususnya bumiputra dalam mengharungi industri yang mencabar ini.
Katanya hal ini semua sentiasa mendapat perhatiannya.
"Ia sebahagian dari azam saya masuk berpolitik dulu.Saya berpolitik kerana ingin bayar balik kepada sistem yang membuatkan saya berjaya hingga jadi seorang jurutera.
"Keluarga saya memang orang susah.Bapa saya seorang buruh kasar…ibu saya pula buta huruf.Walaupun dengan serba kekurangan itu… sistem yang wujud hasil perjuangan UMNO mengubah kehidupan saya.
“ It’s payback time ,”ujarnya. (Di petik dari Agendadaily)
Baca Seterusnya!
|
|
|
UMNO SEPANG ANJUR MAJLIS BERKHATAN |
SEPANG 10 Dic 2006 - Bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Tanjung Sepat, UMNO Bahagian Sepang telah menganjurkan majlis berkhatan beramai-ramai.
Acara yang sudah menjadi tradisi tahunan bagi UMNO Bahagian Sepang telah memberi peluang kepada anak-anak ahli untuk merasai suasana 'majlis melangkah ke alam dewasa' secara beramai-ramai.
Selain daripada ianya menjadi memori bagi kanak-kanak tersebut majlis sebegini dapat menjimat kos bagi ibu bapa serta menjadi medan untuk mengeratkan siratulrahim sesama ahli.
Ahli Parlimen Sepang Dato' Ir. Mohd Zin Mohamed telah hadir merasmikan majlis tersebut.
Baca Seterusnya!
|
|
|
BINA UPAYA REALISASI BANGSA |
Agenda dan usaha memartabatkan bangsa adalah tanggungjawab bagi setiap mereka yang sayang dan kasih kepada bangsa. Badan-badan swasta milik Melayu dan individu Melayu yang telah mendapat nikmat awal dan telah mencapai kejayaan, hendaklah memainkan peranan sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai Melayu yang berjaya. Asas ekonomi bangsa akan bertambah kukuh, jika Melayu yang telah mengecapi nikmat perjuangan UMNO atau telah mendapat kemudahan sejak Dasar Ekonomi Baru dilancarkan, terus menyumbang kepada menjayakan agenda Melayu. Tentulah mereka dapat memberikan kesan pertambahan secara mendadak membangunkan lebih ramai anak bangsa khususnya masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.
Ikuti teks penuh ucapan YB. Dato’ Ir. Mohd Zin Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Sepang ketika menyampaikan Ucapan Dasar di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sepang pada 6 Ogos 2006.
Hayati dan marilah sama-sama kita saling lengkap melengkapi misi MemBINA UPAYA REALISASI BANGSA di http://umnosepang.blogspot.com Baca Seterusnya!
|
|
|
|
|