KUALA LUMPUR 14 Mei - Kakitangan awam di negara ini perlu menyokong usaha kerajaan dalam memastikan semua program Islam Hadhari dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pelaksanaan program Islam Hadhari penting bagi melahirkan individu yang bertamadun dan dihormati. Katanya, ia selaras dengan tuntutan Islam melalui pendekatan seimbang dari segi spiritual, ekonomi pendidikan, kemasyarakatan dan undang-undang. "Kakitangan kerajaan perlu bertekad dan bersatu untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara sejajar dengan pendekatan Islam Hadhari yang dipraktikkan oleh kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul Tahun 1426H peringkat Kementerian Kerja Raya di sini hari ini. Mohd. Zin menambah, Islam Hadhari menghendaki umatnya memajukan diri dengan meletakkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas harian. Tegas beliau, penekanan terhadap pembangunan seimbang dan bersepadu perlu dilakukan supaya tidak wujud kepincangan dalam moral insan. Pada majlis sama dua kakitangan kementerian iaitu Rashid Mat Amin dan Habshah Bakar menerima sijil penghargaan masing-masing atas sumbangan mereka meningkatkan syiar Islam.
|